^_^ Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum ^_^

Photobucket

thanks for click it !! ^_^

Sunday, April 5, 2009

didiklah anakmu berpolitik

^_^ lina mursyidah hamzah at 6:49 PM
Photobucket



“Okay, kita nak pergi bercuti ke Pulau Pangkor, siapa yang nak jadi ketua?” saya bertanya kepada anak-anak.

“Abi!!!” mereka sebulat suara memilih saya.

“Baik, kalau Abi jadi ketua, semua orang kena dengar cakap Abi. Kalau Abi suruh tidur, semua kena tidur. Kalau Abi ajak balik bilik dan berhenti main air, semua kena ikut balik bilik, boleh?” saya menjelaskan makna ketua kepada pengikut.

“Boleh!” jawab Saiful Islam dan Naurah.

Sentiasa boleh. Tetapi bila sampai masanya, macam-macam pula ragam mereka.

“Kalau Abi tak ada, nak dengar cakap siapa?” saya bertanya lagi.

“Umi!” kata Naurah.

“Bagus. Dengar cakap Umi macam dengar cakap Abi, okay?” saya menambah.

“Okay,” mereka menjawab.


SUNNAH

Teringat saya kepada hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Apabila tiga orang bermusafir bersama, hendaklah dilantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua” [riwayat Abu Dawud, daripada Abu Said al-Khudri radhiyallaahu 'anhu]

Begitulah cara Islam mengajar dan mendidik penganutnya hidup bertertib lagi sistematik. Soal keluar bermusafir itu mungkin sekadar rutin biasa yang diulang-ulang dari semasa ke semasa. Tetapi di dalam rutin itulah diselitkan unsur ketertiban hidup lantas salah seorang harus mengambil tanggungjawab menjadi ketua.

Ketua dalam erti kita mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan dua rakannya.

Ketua yang membantu membuat keputusan-keputusan biar sekecil mana pun persoalannya.

Ketertiban ini diterapkan bermula daripada solat berjemaah hinggalah kepada bermusafir secara berjemaah. Kehidupan di dalam solat dan di luar solat, Muslim diajar agar duduk di dalam tatacara kehidupan yang terpimpin. Ada yang memimpin, ada yang dipimpin.

Latar belakang kehidupan yang sebegini, menjadi penjelasan yang paling terang lagi rasional mengapa para sahabat radhiyallaahu ‘anhum tidak bertangguh berkumpul di Tsaqifah Bani Sa’idah untuk mencari pemimpin menggantikan kekosongan posisi itu yang berlaku akibat kewafatan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, biar pun jasab baginda masih belum lagi dikebumikan.

Tidak harus Muslim hidup tanpa pemimpin dan kepimpinan.

Semua ini adalah asas kepada apa yang kemudiannya dinamakan sebagai POLITIK.

Politik yang didefinisikan dengan sebagai Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi (memelihara agama dan mengurus tadbirkan dunia dengan agama itu) di dalam kitab al-Ahkaam al-Sulthaniyyah adalah peraturan Allah kepada tamadun manusia. Kehidupan berperaturan, terpelihara di antara peranan dan hak masing-masing, adalah kehidupan yang mengangkat darjat manusia sebagai makhluk penghulu yang tinggi.

Inilah asas politik.

Mendidik manusia hidup berperaturan.

Mencegah manusia daripada kehidupan anarki.


KEGANJILAN ISLAM AKHIR ZAMAN

Namun, sama seperti dakwah, kalimah politik itu juga terjebak ke dalam pelbagai persepsi yang membingungkan. Dalam suasana kucar kacirnya isu semasa yang tidak pernah berhenti itu, sering sahaja kita terkeliru di antara politik, kepartian dan sentimen kepuakan. Perubahan kecenderungan pengundi yang beralih daripada Parti A ke Parti B bukanlah isu utama, biar pun ia menjadi sasaran terbesar massa. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana masyarakat memahami politik dan seterusnya terus berstamina menyertai tanggungjawab Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi dan bukannya bertindak memencilkan diri daripada politik.

Apatah lagi di kalangan Muslim.

Muslim yang urusan pengebumian jasad Nabi mereka jatuh nombor dua selepas keutamaan diberikan kepada soal kepimpinan dan ketertiban hidup yang menjadi Sunnah itu.

Akan tetapi, tatkala disebut tentang solat, semua orang mendengarnya tanpa rasa terganggu.

Apabila dibicarakan tentang zakat, aman sahaja manusia berfikir mengenainya.

Tetapi jika politik disebut, semua menjadi panik.

Ibu bapa boleh tenang sahaja melihat anaknya mendungukan diri di hadapan PSP dengan koleksi A keputusan peperiksaan di keliling pinggangnya, tetapi dengan segera tersampuk dengan igauan besar jika anaknya tiba-tiba berbicara soal politik. Lembab dengan ideologi AKU TIDAK PEDULISMA dianggap cerdik, berbicara dalam bahasa kepedulian tentang persoalan Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi dianggap sebagai kebodohan yang mengundang padah.


POLITIK SEBAHAGIAN DIRI

Politik itu seni.

Ia memerlukan kualiti pemikiran dan kebijaksanaan kepimpinan untuk menggarapnya.

Soal mahu menjadi AHLI POLITIK atau tidak adalah soal kedua. Tetapi manusia tidak boleh memencilkan diri daripada politik. Benar sekali kata Michael B. Coleman, ahli politik daripada Parti Demokrat Amerika Syarikat, “You may not be interested in politics, but politics are interested in you“.

Muslim tidak mampu untuk tidak peduli kepada politik. Politik itu adalah seni mengatur kehidupan manusia, dan ia adalah salah satu juzuk terpenting dalam agamanya, Islam. Memencilkan diri daripada politik bermaksud meninggalkan cabang besar amar makruf dan nahi mungkar. Tidak mungkin tanggungjawab ini terbiar, melainkan pasti ada dosa dan fitnah yang mengiringinya.

Muslim boleh mengambil sikap non partisan sebagai satu bentuk pendirian politiknya. Mereka melaksanakan urus tadbir kehidupan manusia melalui badan-badan NGO atau pertubuhan kebajikan, mengikut kebolehan dan peluang masing-masing. Tetapi Muslim tidak boleh mengambil sikap tidak mengambil peduli kepada politik hanya kerana tidak mahu peduli kepada parti.

Justeru, membiaknya spesis Muslim yang alergik dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran.

Dalam sopan mereka menjadi oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman tetapi tidak mahu menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu melakukan apa-apa untuk memperbaiki keadaan. Lantang mengkritik polisi-polisi yang menjadi beban, tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih daripada sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain.


SEKADAR DI PINGGIRAN

Iman manusia seperti ini adalah iman di pinggiran.

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan Dunia dan Akhirat. Itulah kerugian yang terang nyata” [al-Hajj 22: 11]

Politik dan dakwah bergerak seiringan.

Keperluan kedua cabang kehidupan ini menyebabkan Nuh ‘alayhi al-Salaam dan sekalian Nabi dan Rasul mengambil jalan yang sama. Dalam dakwah mereka kepada keluarga dan komuniti terdekat, mereka juga tidak pernah meninggalkan urusan menasihati, menegur malah berkonfrontasi dengan golongan al-Mala’.

Tiada makna dakwah disempitkan pada sekadar menjaga urusan keluarga yang duduk di bawah circle of influence kita, jika urusan golongan penguasa (al-Mala’) yang duduk di bawah circle of the influencing people itu dibiarkan sewenang-wenangnya.

Justeru, usaha melahirkan generasi yang peka dan celik politik itu penting.

Semasa anak-anak di bangku pengajian universiti, mereka harus belajar untuk faham tentang politik. Keterlibatan mereka di dalam persatuan-persatuan, bercakap dan bertindak terhadap kebajikan masyarakat kampus, kepedulian mereka terhadap apa yang berlaku di sekeliling diri, semua itu mesti didedah, dilatih dan seterusnya ditempa masuk ke dalam jiwa mereka.

Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk mentadbir syarikat mereka bekerja nanti.

Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk menguruskan jabatan tempat mereka berkerjaya nanti.

Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk mentadbir keluarga tempat mereka berkehidupan nanti.

Politik diperlukan di semua peringkat hidup. Dan oleh kerana manfaat politik akhirnya sampai kepada sebuah keluarga, maka keluarga jugalah seharusnya menjadi tempat anak-anak diperkenalkan dengan politik, iaitu hidup berperaturan, mengenal tanggungjawab juga peranan, berlatih membuat keputusan dan hidup berpegang kepada nilai keprihatinan.


SEKUNDER KEPARTIAN

Soal kepartian, itu tidak lagi menjadi kekeliruan atau kebingungan dalam membuat pilihan, andai politik sudah dikenali dari akar, menjalar ke batang dan pucuknya di julang.

Idea politik sebagai ibadah, politik sebagai amanah, politik sebagai tanggungjawab, politik sebagai amar makruf dan nahi mungkar, pasti sahaja wadah politik yang dipilih adalah wadah politik yang beribadah, amanah, bertanggungjawab dan jauh dari koruspi dan orientasi kepentingan peribadi.

Didik sahaja anak-anak cintakan keadilan.

Didik sahaja anak-anak bencikan kezaliman.

Didik sahaja anak-anak berlumba-lumba memelihara amanah.

Didik sahaja anak-anak bekerjasama menentang kianat.

Didik sahaja anak-anak dengan kebebasan memberikan pandangan dan bersuara.

Didik sahaja anak-anak dengan keberanian menyuarakan pendapat tanpa tergadai budi pekerti semasa setuju atau sebaliknya.

Itu teras berpolitik di gelanggang massa suatu hari nanti.

“Abi cakap Abi nak buat cucur pisang,” kata Naurah marahkan saya.

“Pisang dah busuk sangatlah Naurah. Tak sesuai nak dibuat makan!” saya cuba memberikan penjelasan.

“Kalau pisang dah busuk, kenapa Abi janji nak buat cucur pisang? Tak payahlah janji-janji. Tak tepati janji berdosa,” Naurah ‘menegur’ amir al-mu’minin di rumahnya.

Saya hanya mampu mengangguk. Akur bahawa semasa saya memberitahunya yang pisang buruk di atas para itu tidak boleh dimakan mentah, ia sebenarnya juga sudah tidak boleh dibuat cucur. Tetapi saya menyebutnya dengan harapan anak-anak berhenti mendesak.

“Abi minta maaf,” saya menghulurkan tangan meminta kemaafan.

“Lain kali jangan buat lagi ya!” kata Naurah.

“Baik puan,” saya mengangguk.

Di dalam rumah kami semua orang bebas menegur dan semua orang harus belajar menerima teguran. Ibu bapa menegur anak-anak, mereka juga berhak menegur ibu bapa. Itulah etika politik dan kepimpinan rumah Abu Saif, dalam subjek ‘mendidik anak berpolitik’.

Apa yang penting ialah kesedaran tentang politik itu juga memberi ibrah, andaikata pisang sudah busuk, janganlah berjanji untuk menghidangkan apa-apa yang manis dan baik untuk disantap. Moga politik Malaysia tidak terus dilamun impian menjamah cucur manis dari pisang yang sudah buruk setandan itu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang


sumber : saifulislam.com

0 pandangan dari kamu:

 

perkongsian sebagai peringatan Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea