^_^ Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum ^_^

Photobucket

thanks for click it !! ^_^

Friday, May 15, 2009

fiqh hadarah 4 : moderniti dan kiasan kehidupan gua

^_^ lina mursyidah hamzah at 6:06 PM

Photobucket

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 
Ya Allah! Limpahkanlah rahmat ke atas Junjungan kami, Nabi Muhammad, pembuka bagi sesuatu yang terkunci, penutup segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran dengan kebenaran dan petunjuk ke jalanMu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan kadar dan darjatnya yang agung pada setiap kerlipan mata dan nafas, sebanyak mana luasnya ilmu Allah.

Tanpa memahami sifat dan tabi'at epistemologi dan ontologi modeniti sangat sukar untuk kita melihat bahaya racun dan tuba modeniti menyelinap masuk dalam weltanschauung (worldview/pandang-alam) umat Islam apatah lagi lebenswelt (lifeworld/peng-alam-an) mereka. Apresiasi terhadap faham epistemologi dan ontologi modeniti mesti kita miliki dahulu kerana ia merupakan latarbelakang ilmu (background knowledge) yang membentuk kefahaman dan kesedaran kita terhadap ilmu dan realiti kehidupan semasa secara tidak sedar. Hakikatnya ilmu, sikap dan kesedaran semasa kita bersifat paradigmatik atau dalam ertikata yang lain kita adalah anak kelahiran semangat zaman (zeit-geist). Cara berfikir dan kehidupan zaman itu mempengaruhi, menanam-benih, membesarkan dan menjadi darah-daging kita. Lebih bergelumangnya kita dengan semangat zaman tersebut lebih kental dan mantap pegangan kita terhadap semangat zaman tersebut. Semangat zaman atau era kehidupan mewarnai pandang-alam kita dan mempengaruhi peng-alam-an kehidupan kita. Modeniti dan segala pecahannya adalah satu proses kebangkitan semangat zaman selepas terungkainya semangat zaman Kristian Abad Pertengahan bermula abad ke 17. Dari Renaissance, kepada Enlightenment, kepada Scientific, Technological dan Industrial Revolutions sehinggalah kehari ini dengan segala macam "post-ideologies". Justeru modeniti adalah asalnya satu fenomena tempatan khusus dalam konteks zaman dan lingkungan Eropah tetapi telah dipropagandakan sedemikian rupa untuk menjadi fenomena sejagat/universal dan dipaksakan ke atas semua umat manusia, satu ketika dahulu kolonialisasi kini globalisasi tanpa soal-jawab tanpa sedar.
 
 
Antara semangat zaman modeniti yang penting yang telah memberikan dampak kepada sifat dan tabi'at Islam ialah ini deklarasi Friedrich Nietzsche ahli falsafah German bahawa Gott ist tot/God is dead (Tuhan telah mati). Dan bagi Nietzsche manusia modenlah yang telah membunuh Tuhan. Akibat matinya Tuhan maka matilah manusia, yang tinggal hanya automaton, robot yang gersang dari ruh ketuhanan. Agama juga menjadi kering dan layu akibat tidak lagi mendapat sinaran dan pancaran nur Ilahi. Justeru kehidupan menjadi kering-kontang dan tidak mempunyai makna (meaninglessness). Begitu juga deklarasi Karl Marx ahli falsafah German bahawa Religion is opium of the people (Agama adalah candu masyarakat). Lalu agama sekadar menjadi ideologi sosio-politik bagi memperdayakan masyarakat yang lemah pemikiran dan bukannya sebagai jalan mengenal dan menuju Tuhan. Selepas Nietzsche malah sebelum beliaupun kebanyakan ideolog2 modeniti secara jelas bukan sahaja menolak sebarang elemen keagamaan/ketuhanan dalam kehidupan malah berusaha keras mengeluarkan keseluruhan sifat-tabi'at agama/tuhan dari kehidupan. Ini disebut mereka sebagai entzauberung/ menyahkan kekudusan, agama dan tuhan (disenchantment) . Faham ini mempengaruhi pemikiran positivism, nihilism, solipsism, existentialism, deconstructivism, relativism dan post-modernism. Entzauberung ini akhirnya membawa kepada natijah desakralisasi dan sekularisasi kehidupan. Proses ini telah berlaku lebih dari 300 tahun sejak zaman Renaissance dan kini menjadi satu-satunya paradigm dominan kehidupan manusia yang bergelar manusia "moden". Proses ini telah menjadi begitu natural/semulajadi sehingga tidak terasa dipaksakan dan diterima pula sebagai satu-satunya realiti kehidupan manusia. Modeniti yang telah sebati menjadi weltanschauung dan lebenswelt manusia "moden" rasanya boleh saya kiaskan dari karya Aflatun "Republika" melalui dialog sifunya Sokrat.
 
Bayangkan sekumpulan penghuni gua yang bukan sahaja diikat kaki-tangan mereka malah kepala mereka juga dibelenggu agar hanya menghadap untuk melihat hanya ke dinding gua di hadapan mereka. Lalu di belakang mereka terdapat pintu gua yang agak besar yang manusia lalu-lalang antara keduanya. Di depan sedikit pintu gua itu terdapat pula unggunan api. Di siang hari penghuni gua sekadar mendengar bunyi manusia yang mundar-mandir tetapi bayangnya tidak begitu kelihatan pada dinding gua. Tetapi di malam hari, manusia yang lalu-lalang dihadapan unggunan api meninggalkan bayang-bayang pada dinding gua yang boleh dilihat jelas oleh penghuninya berserta suara mereka. Sudah pasti setelah sekian lama apatah lagi 300 tahun, bayang-bayang manusia itu dianggap sebagai secara epistemologinya sebagai kebenaran dan ontologinya sebagai realiti kewujudan. Malah sekiranya manusia yang mundar-mandir itu memikul pula patung-patung manusia, bayang-bayang yang terkesan pada dinding gua tidak akan berbeza dengan bayang-bayang manusia sebenar. Lebih kurang 300 tahun rasionalism dan empiricism menjadi satu-satunya epistemologi yang diterimapakai secara dominan oleh manusia "moden". Lebih kurang 300 tahun physicalism dan materialism menjadi satu-satunya ontologi dominan manusia "moden". Kemunculan post-positivism dan post-modenism dengan segala bentuk subjectivism dan relativism jelas sekali memusnahkan rasionalism dan empiricism sebagai sumber kebenaran yang mutlak dan physicalism dan materialism sebagai realiti kewujudan yang mutlak.
 
Katakan seorang penghuni gua tersebut bernasib baik dapat melepaskan diri dari ikatan dan belenggu 300 tahun tersebut. Lalu dia keluar dari gua dan melihat manusia yang sebenarnya dan bukan lagi sekadar bayang-bayang manusia. Beberapa kemungkinan boleh berlaku; 1) Dia mungkin keliru yang mana satukah lebih real - bayang2 atau manusia kerana selama 300 tahun ini yang real baginya adalah bayang2 malah dia mungkin tidak kenal siapa itu manusia kerana dia hanya kenal bayang2; 2) Dia mungkin kesakitan akibat terlihat unggun api di waktu malam kerana cahayanya yang menyakitkan matanya; 3) Dia mungkin akan kembali mengikat dan membelenggu dirinya untuk melihat semula bayang2 kerana tidak memahami dan keliru dengan kehidupan di luar gua; 4) Malah dia mungkin pengsan dan buta jika terlihat cahaya matahari yang begitu menyilaukan. Katakan pula ada seseorang yang berusaha untuk melepaskan penghuni gua tersebut dari kehidupan guanya yang palsu itu kepada hakikat sebenar kehidupan di luar gua yang lebih luas dan bercahaya terang-benderang. Mungkin sahaja terdapat seorang dua dari mereka yang diberi hidayah dan taufik untuk menjalani kehidupan baru yang serba real. Kemungkinan juga orang tersebut akan dimarahi malah dibunuh kerana dianggap pengacau mengganggu keseronokan penghuni gua melihat bayang2 manusia yang mereka anggap sebagai kebenaran dan kewujudan yang hakiki. Bagi manusia "moden" sejati rasionalism, empricism, physicalism dan materialism adalah segala-galanya. Mu'jizat, karamah, barakah, tradisi, autoriti, ilham, spirituality, metaphysics, ghaybiyyat dan sami'yyat adalah perkara-perkara yang tidak wujud dan tidak real. Justeru sesiapa yang membawa perkara-perkara ini perlu dihapuskan kerana mengganggu-gugat epistemologi dan ontologi mereka sejak 300 tahun yang lalu.
 
Dalam konteks ini boleh kita sebut bahawa ketika abad ke 19-20, modeniti sudah sampai kekemuncaknya seperti kata Nietzsche bahawa Tuhan telah mati. Dan ketika ini juga reaksi langsung sarjana Muslim mula wujud terutamanya dalam menghadapi kolonialism. Dalam usaha mereka menghalau para penjajah mereka juga terpesona dengan rasionalism dan empiricism penjajah khusus hasil-hasil sains, teknologi dan industri kolonial. Tidak hairan sikap ini ditunjukkan apabila ada dikalangan mereka menafsirkan al-Qur'an secara saintifik misalnya menyebut burung ababil itu sebagai kuman dan virus yang menyebabkan epidemik bagi tentera Abrahah sedangkan ababil itu dalam tradisi tafsir itu memang burung-burung kecil tidak pernah ditafsirkan sebagai kuman dan virus. Sikap dan semangat rasionalism dan empiricism ini kemudian berkembang pula dalam dimensi-dimensi lain agama termasuklah hukum-hakam atau lebih besar syariat itu sendiri biasanya atas nama REFORM. Walaupun ada yang mengganggap label reformist dan modernist agama sebagai satu bentuk penghargaan ia sebenar lama-kelamaan hanya akan merosakkan sifat dan tabiat agama yang telah diterima secara tradisi. Sebahagian besar dari perkara2 seperti mu'jizat, karamah, barakah, tradisi, autoriti, ilham,spiritualiti, metaphysics, ghaybiyyat dan sami'yyat tentu sekali tidak akan melepasi kriteria dan kayu-ukur rasionalism dan empiricism dan mula dianggap bermasalah dan akhirnya disisih, tersingkir malah ditolak langsung dalam wacana keagamaan ilmiah juga amaliyyah ummat.
 
Meskipun Nietzsche adalah ikon modeniti anti-Tuhan yang ekstrem, modeniti secara umumnya masih lagi menerima kewujudan Tuhan tetapi dengan bersyarat. 1)Tuhan modeniti hanya diterima melalui kaedah akal-rasional, panca-indera dan alam-semesta. Tuhan tidak boleh diterima melalui kaedah-kaedah lain seperti tradisi, autoriti dan intuisi (rational, emprical, scientific and natural conception of God); 2) Tuhan mesti tidak terlibat langsung dalam pentadbiran dan pengurusan alam dan kehidupan kerana alam dan kehidupan telah ditentukan oleh "laws of nature" atau "sunan" yang telah ditentukan oleh Tuhan sendiri dan manusia berupaya mengatur/menentukan perjalanan kehidupan mereka (Transcendent God as watch/clock maker, non-intervention/non-interference policy and never imminent, human-centric or anthrophocentric universe); 3) Fenomena agama hanya boleh dihuraikan melalui akal-rasional dan tidak boleh dengan cara extra-rational seperti mukjizat, karamah, barakah, tradisi, autoriti, ilham, intuisi, ghaybiyyat, sam'iyyat dsb (rejection of religion as revelational, miraculous, mysterious, enchanted, extra-rational phenomena). Dan inilah proses yang disebut oleh Marx Weber sebagai entzauberung atau engotterung (melupuskan atau menyahkan peranan Tuhan, kekudusan, keruhanian, wahyu dan mukjizat, dan segala bentuk ketakjuban dari alam dan kehidupan). Dan inilah ziet-geist atau "ruh/semangat" modeniti yang telah menjadi gua kehidupan manusia moden meskipun mereka masih bertuhan dan beragama. Dalam hal ini umat Islam juga tidak terkecuali dari terhirup dan bernafas dengan "ruh/semangat" modeniti ini. Persoalannya mampukan manusia "moden" khususnya umat Islam keluar dari ikatan dan belenggu gua modeniti ini mencari epistemologi dan ontologi asal mereka? 
 

Sekian, wallahu'alam, Ibn Muhammad.

DR.AMRAN MUHAMMAD

0 pandangan dari kamu:

 

perkongsian sebagai peringatan Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea