^_^ Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum ^_^

Photobucket

thanks for click it !! ^_^

Thursday, May 28, 2009

halaqah ilmuan muda (HAKIM) pada 27 MEI 09 dI RUMAH DR.MOHD FARID MOHD SHAHRAN

^_^ lina mursyidah hamzah at 10:51 AM

Photobucket

“Perlakukan pihak lain itu sebagaimana kamu ingin diperlakukan oleh mereka”:

                                         Satu Pengamatan Awal terhadap The Golden Rule  

                                                            Dr. Mohd Zaidi b. Ismail
                                                           Fellow Kanan / Pengarah
                   Pusat Sains dan Teknologi,Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Latarbelakang dan Erti The Golden Rule
Kira-kira satu setengah dekad yang lalu, pada bulan September 1993, bertempat di Chicago, Amerika Syarikat, telah dianjurkan satu “Dewan Perwakilan Agama-Agama Sedunia” (Parliament of the World’s Religions) yang dihadiri oleh sejumlah individu daripada pelbagai agama dan suku-bangsa. Mereka kemudiannya telah menandatangani satu perisytiharan yang telah didokumentasikan dan yang kini dikenali sebagai Declaration Toward a Global Ethic (Deklarasi Ke Arah Etika Sejagat). Dalam Bahagian Pendahuluan kepada Deklarasi tersebut, dinyatakan antara lain bahawa “Kita mesti perlakukan pihak lain itu sebagaimana kita ingin diperlakukan oleh mereka” (We must treat others as we wish others to treat us). Pernyataan ini merupakan sesuatu yang menyusul daripada pengisbatan mereka bahawa “sudah sedia terdapat satu kumpulan nilai-nilai teras yang sama dalam ajaran-ajaran agama-agama itu yang merupakan asas kepada suatu etika sejagat” (We affirm that a common set of core values is found in the teachings of the religions, and that these form the basis of a global ethic). Pernyataan itulah, bersama-sama dengan beraneka bentuk olahan dan ungkapannya, yang dirujuk pada umumnya sebagai The Golden Rule (Lunas Panduan Paling Berguna). Adakalanya, ia dinamakan “Etika Timbal-Balik” (The Ethic of Reciprocity), dan oleh sebahagian pihak, “Etika Peralihan Sudut Pandangan” (The Ethic of Transference of Perspective). [Untuk rujukan seterusnya dalam Kertas Kerja ini, Lunas Panduan ini akan diringkaskan sebagai GR.] 

Bukannya sesuatu yang asing lagi bahawa GR sering dipetik dan dimajukan dalam pelbagai karya, ucapan, majlis dan pentas yang berupakan “Dialog Antara Agama dan Peradaban” sebagai asas kepada persefahaman dan kerjasama antara warga pelbagai bangsa dan penganut pelbagai agama. Sukar juga untuk dimungkiri bahawa GR memiliki ciri-ciri yang melayakkannya dianggap sebagai halwa telinga meskipun baru pertama kali kedengaran. Bagi para Pendokong kepada GR [selepas ini diringkaskan sebagai PGR], GR layak dinobatkan sebagai piawaian yang digunapakai oleh pelbagai agama dan bangsa dalam menyelesaikan pertembungan dan pergolakan yang berlaku sesama mereka; malah, ia semakin dirasakan sebagai sesuatu yang mendesak dalam ruang-lingkup dunia tanpa sempadan kini yang dicirikan oleh hubungan timbal-balik antara warga pelbagai bangsa dan penganut pelbagai agama yang jauh lebih kerap berbandingkan masa-masa yang lalu. 

Menurut jangkaan PGR, apabila orang ramai menerima GR, mereka juga akan turut menerima cita bahawa setiap seorang manusia itu berkongsikan beberapa hak asasi manusia semata-mata atas dasar bahawa mereka itu manusia. Sehubungan dengan itu, “Deklarasi Bangsa-Bangsa Bersatu Tentang Hak-Hak Asasi Manusia” (United Nations Universal Declaration of Human Rights (UDHR)) seringkali dianggap oleh PGR sebagai bukti bahawa ia semakin diterima oleh masyarakat antarabangsa. Sebahagian PGR bahkan mendakwa bahawa kegagalan terbesar “agama-agama yang dilembagakan” (the organized religions) ialah ketidakupayaan mereka pada masa-masa yang lepas untuk meyakinkan para penganut mereka bahawa GR ini sebenarnya melibatkan semua manusia, bukan hanya para penganut agama-agama tersebut sahaja. Oleh kerana itu, mereka ini mendesak agar agama-agama yang ada menggesa para penganut mereka untuk menggunapakai GR apabila berhubung dengan pelbagai PIHAK YANG LAIN (THE OTHERS)—iaitu: orang-orang perseorangan daripada agama yang lain, jantina yang lain, suku yang lain, pembawaan seks yang lain, dan sebagainya. 
 
Sememangnya wajar jika PGR—termasuk yang di Malaysia—dituntut untuk mencari jalan dan mengariskan rencana tindakan bagi menzahirkan GR dalam bentuk amalan yang dapat diterima oleh pihak-pihak yang terbabit dalam pergolakan dan pertembungan yang bercirikan perkauman dan keagamaan. PGR yang tulen sebenarnya patut mengelak daripada gejala berslogan-sloganan (sloganeering) dan berpuas hati dengan retorik semata-mata. Mereka, sebaliknya, bertanggungjawab untuk membekalkan satu penjelasan yang tuntas tentang GR. Kertas Kerja ini bertujuan untuk melakukan satu tinjauan dan pengamatan awal terhadap beberapa segi dan usaha yang berkaitan dengan penjelasan yang tuntas tersebut. Penjelasan yang komprehensif yang dimaksudkan di sini merangkumi, antaranya, langkah-langkah untuk menerangkan secara ilmiah (1) apa yang bukan GR; (2) tahap kekukuhan GR sebagai sandaran kepada amalan; dan (3) kelemahan-kelemahan yang ada pada GR untuk kemudiannya diatasi. 


Penelitian Kritis terhadap The Golden Rule
Satu usaha ke arah menerangkan apa yang bukan GR, misalnya, telah menggariskan bahawa GR bukannya (1) tit-untuk-tat, atau kesetimpalan dalam pembalasan (retributive justice); (2) prinsip ketiadaan keganasan atau kemudaratan (non-aggression, or harm, principle); (3) satu lunas berkenaan dengan perkara-perkara yang terperinci (a “rule” in specifics); dan (4) fahaman bahawa golongan yang terbanyak harus diutamakan (majoritarianism). Yang dimaksudkan dengan “tahap kekukuhan GR sebagai sandaran kepada amalan” pula ialah kemampuan GR untuk menghasilkan keyakinan dalam diri seseorang bahawa ia adalah asas yang benar untuk beliau bertindak. Sehubungan dengan ini, perlulah diputuskan sama ada GR merupakan suatu lunas yang bersifat awwalą (atau a priori) dari segi kekukuhannya kerana lawannya sama sekali tidak dapat diterima oleh akal sebagai benar ataupun ianya memiliki kekukuhan yang bertaraf lebih rendah daripada itu. Contoh lawan kepada GR ialah pernyataan “Janganlah kamu bertindak terhadap orang lain itu sebagaimana kamu mahu dirimu diperlakukan olehnya.”

Usaha untuk menjelaskan kelemahan-kelemahan yang ada pada GR pula pastinya akan melibatkan usaha-usaha untuk mengenalpasti keadaan-keadaan di mana pelaksanaan GR secara tegar bakal memberikan dampak yang sebaliknya kerana ia mampu memudaratkan orang lain. Oleh kerana terdapat banyak keburukan yang telah dilakukan dalam sejarah atas nama membantu orang lain, sebelum menggunapakai GR, PGR harus memastikan bahawa mereka benar-benar membantu, dan bukannya memudaratkan, orang ramai. Ini selalunya menuntut kebijaksanaan yang lebih daripada biasa. Malah, hal ini juga menjurus kepada persoalan: apakah berakhlak sekiranya kita memudaratkan segolongan kecil daripada anggota masyarakat demi untuk menyelamatkan anggota-anggota masyarakat yang lain daripada kemudaratan yang lebih besar? 

Apabila kita menelaah kitab-kitab suci pelbagai agama dan ajaran akhlakiah yang ada, kita akan dapati bahawa pada amnya terdapat dua bentuk pernyataan GR ini, iaitu: bentuk yang positif (misalnya: layanilah orang lain itu sepertimana kamu mahu kamu dilayani olehnya) dan bentuk yang negatif (contohnya: janganlah kamu layani orang lain itu dengan cara yang kamu tidak ingin dirimu diperlakukan). Selain daripada itu, bentuk olahan dan ungkapan juga berbeza-beza. PGR beranggapan bahawa walaupun terdapat beraneka versinya, semua itu pada dasarnya menayangkan prinsip dan makna yang sama. Apakah betul anggapan PGR ini? Apakah tiada mungkin jangkauan makna GR dalam pernyataan yang berbentuk positif itu tidak benar-benar sama dengan liputan pengertiannya dalam pernyataan yang berupa negatif? Malah, sebenarnya, terdapat pihak yang menamakan pernyataan GR dalam bentuknya yang negatif itu sebagai the silver rule kerana pada anggapan mereka, ianya tidak benar-benar sama dengan pernyataannya dalam bentuk yang positif dan menduduki taraf keluhuran yang lebih rendah. Sekiranya ada perbezaan pada jangkauan maknanya, bagaimanakah PGR dapat mengatasinya? 

Sekiranya PGR tersebut juga merupakan penganut yang setia (adherents)—bukan semata-mata pengikut pada nama sahaja (nominal followers)—kepada mana-mana agama, mereka turut perlu menjelaskan pendirian mereka yang sebenar berhubung dengan kefahaman yang berlainan yang dinyatakan oleh para ilmuwan tertentu berkenaan dengan nas-nas, atau keterangan-keterangan, dalam agama mereka yang dianggap oleh PGR sebagai suatu bentuk pernyataan GR? Contohnya, pemahaman Al-Imām Muḥy al-Dīn al-Nawawī terhadap hadis Nabi s.a.w. “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga ia sukakan untuk saudaranya apa yang ia sukakan untuk dirinya” (lā yuʾmin aḥadukum ḥattā yuḥibba li-akhīhi mā yuḥibbu li-nafsihi). Dalam huraiannya, al-Nawawī, antara lain, menjelaskan bahawa sabda Nabi itu, pertama-tamanya, perlu difahami sebagai memaksudkan “keumuman persaudaraan” (ʿumūm al-ukhuwwah) yang meliputi orang-orang kafir dan orang-orang Islam. Justeru, agar seseorang Islam itu sempurna imannya, ia patut sukakan untuk orang kafir itu apa yang ia sukakan untuk dirinya dalam pengertian “masuknya ia dalam Islam” dan ia juga patut sukakan untuk orang Islam itu apa yang ia sukakan untuk dirinya dalam pengertian “kekalnya ia dalam Islam.” Kesukaan (al-maḥabbah) yang dimaksudkan dalam sabda Nabi ini juga ialah “keinginan kepada kebaikan dan kemanfaatan” (irādat al-khayr wa al-manfaʿah) dan berikutan daripada itu, kesukaan yang dimaksudkan merupakan “kesukaan yang bersifatkan agama” (al-maḥabbah al-dīniyyah), bukan “kesukaan yang bercirikan pembawaan jasad manusia” (al-maḥabbah al-bashariyyah), kerana tabiat yang bercirikan jasad manusia itu (al-ṭibāʿ al-bashariyyah) ada kalanya membencikan bukan sahaja keterhasilan kebaikan tetapi juga ketinggian pihak lain itu mengatasinya. Diterangkan juga bahawa hasad, atau kedengkian, itu lahir pada seseorang itu tatkala ia tidak sukakan untuk saudaranya apa yang ia sukakan untuk dirinya.  

Selain daripada hal-hal yang ditimbulkan di atas tadi, PGR yang tersebut itu juga perlu menjelaskan mana-mana potongan keterangan atau ajaran dalam kitab-kitab suci mereka yang dianggap sebagai bertentangan dengan GR ini. Hal ini, menurut beberapa pemerhati, selalunya timbul ketika golongan yang tidak mempercayai agama tersebut menjadi bahan atau sasaran perbincangan. Dalam kes-kes yang didakwa sebagai saling bercanggah itu, PGR yang terbabit dijangka memilih untuk menjadikan keterangan yang mengandungi GR sebagai prinsip teras manakala ajaran-ajaran yang lain itu dianggap sebagai bersifat cabangan dan perlu ditafsirkan agar sesuai dan selari dengan GR. Namun, untuk mewajarkan langkah atau pilihan mereka ini, hujah-hujah yang bernas lagi kukuh harus dikemukakan.

Segelintir pemerhati berpandangan bahawa sementara terdapat beberapa polisi yang bermanfaat bagi golongan terbanyak dalam sesuatu masyarakat itu yang berkemungkinan bermudarat kepada segelintir khalayak dalam masyarakat yang sama, lunas-lunas seperti GR ini seakan mengandaikan kewujudan piawaian yang mutlak (absolute) dan menyeluruh (universal) berkenaan dengan apa yang bermanfaat dan apa yang memudaratkan. Jika demikian itu halnya, maka sekiranya seseorang itu perlu menghindari sebarang kemudaratan, dia pasti akan terhalang daripada melakukan banyak kebaikan. Bagi peneliti yang berpandangan sebegitu, George Bernard Shaw berkemungkinan betul apabila beliau mengujarkan, “Janganlah bertindak terhadap orang lain itu sebagaimana kamu mahu dirimu diperlakukan olehnya. Citarasa mereka mungkin tidak sama” (Do not do unto others as you would that they should do unto you. Their tastes may not be the same). Sebahagian pemerhati ini juga telah menunjukkan bahawa GR ini akan kehampaan makna sekiranya tidak terlebih dahulu dikenalpasti (1) pihak yang menjadi sasaran tindakan tersebut (the recipient) dan (2) keadaan di mana berlakunya tindakan itu (the situation). Menurut para pemerhati ini, jika kedua-dua unsur tersebut dibiarkan kabur, maka boleh sahaja terjadi situasi di mana seseorang yang terdesak yang inginkan dirinya dibunuh akan bertanggungjawab secara akhlakiahnya untuk membunuh pihak yang lain. Ataupun, seseorang yang sangat gemarkan kacang merasa perlu untuk memberikannya kepada pihak-pihak yang mempunyai alahan terhadapnya. Malah, ada juga peneliti  

 Berikutan daripada itu semua, terdapat usaha oleh beberapa pihak untuk merumuskan semula GR ini dalam bentuk yang dijangka dapat mengurangkan paradoks atau kemustahilan yang berkemungkinan timbul sekiranya lunas tersebut dibiarkan dalam bentuk harfinya yang asal. Salah satu daripadanya ialah pentafsiran yang dikemukakan oleh Harry J. Gensler, seorang sarjana yang telah menjalankan penelitian ke atas GR ini secara falsafi, dalam bentuk: “Layanilah pihak yang lain itu hanya dengan cara yang kamu mahu dirimu dilayani oleh mereka dalam keadaan yang benar-benar sama” (Treat others only in ways that you are willing to be treated in the same exact situation). Sekiranya GR dikemukakan dalam bentuk seperti itu, pelaksana GR disyaratkan agar memiliki pengetahuan dan daya khayalan yang sewajarnya; bukan sahaja mereka perlu mengetahui kesan tindakan mereka ke atas kehidupan pihak yang lain itu tetapi mereka juga perlu mampu untuk membayangkan diri mereka, secara jelas dan tepat, pada kedudukan pihak yang menerima kesan tindakan mereka itu. 

Meskipun GR ini telah dirumus semula dalam bentuk yang sedemikian rupa demi mengelakkan beberapa kelemahannya yang tersebut, dalam pengamatan Gensler seterusnya, GR ini sebaiknya dilihat sebagai satu prinsip ketekalan (a consistency principle) semata-mata. Ia tidak dapat menggantikan lunas-lunas panduan akhlakiah yang lazim terpakai (regular moral norms), bukan juga ia petunjuk yang serba-serbi betul (an infallible guide) dalam menentukan tindakan apa yang betul dan tindakan apa pula yang salah, dan tidak pula dapat ia perincikan apa yang sepatutnya dilakukan oleh kita. GR ini hanya mewajibkan ketekalan—bahawa kita tidak bertindak terhadap pihak yang lain secara yang tidak serasi dengan tindakan yang kita dambakan dalam suasana yang sama yang sebaliknya. Ia menguji kemunasabahan dan keselarasan dalam pelbagai tindakan kita (one’s moral coherence); sekiranya kita melanggar GR, maka kita telah melanggar semangat kesaksamaan dan keprihatinan (the spirit of fairness and concern) yang merupakan teras kepada akhlak (lie at the heart of morality). 

 Sehubungan dengan itu, dan sebagai penutup kepada Kertas Kerja ini, satu kritikan yang diketengahkan oleh Bernard Gert, profesor Falsafah Moral di Dartmouth College, dalam makalahnya yang berjudul “Morality versus Slogans” merupakan sesuatu untuk PGR pertimbangkan. Ujar Gert: 

“I am not denying that the Golden Rule, in some cases, tells us to do the moral thing. What I am saying is that in those cases, you already knew what was immoral before you applied the Golden Rule. If you are wondering whether to kill somebody, you don’t need that Golden Rule to tell you, ‘I wouldn’t want to be killed, therefore I shouldn’t kill him.’ You knew it was wrong to kill him before you applied the Golden Rule. The Golden Rule is of no help at all because it gives you the wrong answers as often as it give you the right ones. Using procedures that are not very reliable, that sometimes give you the right answer but just as often give you the wrong answer, is not very useful.”  

Rencana, atau Ringkasan, Perbincangan

a. Erti The Golden Rule ini.
1. Contoh The Golden Rule:
a) “Perlakukan pihak lain itu sebagaimana kamu ingin diperlakukan oleh mereka.”
b) Kaitannya dengan isu murtad.
2. Sebabnya:
Keperluan kepada asas yang sama-sama disepakati sebagai landasan kepada hubungan antara kaum, budaya dan agama yang semakin meningkat (lebih kerap dan lebih luas)
3. Penzahirannya di zaman sekarang:
Declaration Toward a Global Ethic (Deklarasi Ke Arah Etika Sejagat) anjuran Dewan Perwakilan Agama-agama Dunia (Parliament of the World’s Religions) di Chicago, 1993.
b. Bersifat teliti dan kritis terhadap panduan, atau prinsip, umum yang digelar The Golden Rule ini, antara lain, melibatkan pengemukaan beberapa soalan dan pencarian jawapannya:
1. Apakah ada bentuk-bentuk rumusan, atau ungkapan, yang lain yang juga boleh dianggap sebagai The Golden Rule?
a) Benarkah bentuk-bentuk itu semuanya seerti pada segenap segi?
Bentuk yang positif dan bentuk yang negatif
b) Bagaimana pula dengan pendapat bahawa sebahagian daripada ungkapan itu (iaitu: ungkapan dalam bentuk yang negatif) hanya boleh dianggap sebagai The Silver Rule?
c) Bagaimana pula dengan pentafsiran berbeza yang diberikan kepada ungkapan-ungkapan tertentu dalam satu-satu agama itu yang berlainan dengan semangat para pendokong The Golden Rule ini?
Contoh: Hadis Nabi s.a.w. “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga ia sukakan untuk saudaranya apa yang ia sukakan untuk dirinya.” 
2. Apa yang bukan The Golden Rule?
a) tit-for-tat, atau kesetimpalan dalam pembalasan (retributive justice);
b) prinsip ketiadaan keganasan atau kemudaratan (non-aggression, or harm, principle);
c) satu lunas berkenaan dengan perkara-perkara yang terperinci (a “rule” in specifics); dan
d) fahaman bahawa golongan yang terbanyak harus diutamakan (majoritarianism).
3. Kukuhkah The Golden Rule ini sebagai sandaran kepada amalan? Berapa kukuhkah ia? Apakah tahap kekukuhannya? 
4. Sekiranya The Golden Rule ini tidak benar-benar kukuh, apakah kelemahan-kelemahan yang ada pada The Golden Rule ini?
a) Dakwaan bahawa The Golden Rule ini, biarpun memikat, sebenarnya hampa dari segi intisari dan isi-kandungannya.
b) Dakwaan bahawa sesungguhnya lebih bermanfaat sekiranya tumpuan dan penekanan diberikan kepada ajaran-ajaran akhlak dan agama yang lebih asas—seperti perintah (imperative) untuk tidak berbohong, mencuri dan membunuh—kerana semua ini lebih bermakna dan dapat dijadikan asas kepada tindakan dan perlakuan yang baik kepada pihak-pihak yang lain.
c) Segelintir pemerhati berpandangan bahawa sementara terdapat beberapa polisi yang bermanfaat bagi golongan terbanyak dalam sesuatu masyarakat itu yang berkemungkinan bermudarat kepada segelintir khalayak dalam masyarakat yang sama, lunas-lunas seperti The Golden Rule ini seakan mengandaikan kewujudan piawaian yang mutlak (absolute) dan menyeluruh (universal) berkenaan dengan apa yang bermanfaat dan apa yang memudaratkan. Jika demikian itu halnya, maka sekiranya seseorang itu perlu menghindari sebarang kemudaratan, dia pasti akan terhalang daripada melakukan banyak kebaikan.
d) George Bernard Shaw berkemungkinan betul apabila beliau mengujarkan, “Janganlah bertindak terhadap orang lain itu sebagaimana kamu mahu dirimu diperlakukan olehnya. Citarasa mereka mungkin tidak sama.” Ini berlawanan dengan The Golden Rule dan jika ianya diterima, maka The Golden Rule ini gagal menjadi panduan atau piawaian umum.
e) Dengan kata-kata lain, The Golden Rule ini akan kehampaan makna sekiranya tidak terlebih dahulu dikenalpasti:
1. pihak yang menjadi sasaran tindakan tersebut (the recipient); dan 
2. keadaan di mana berlakunya tindakan itu (the situation).
Jika kedua-dua unsur tersebut dibiarkan kabur, maka boleh sahaja terjadi situasi di mana seseorang yang sangat gemarkan kacang merasa perlu untuk memberikannya kepada pihak-pihak yang mempunyai alahan terhadapnya. 
5. Bolehkah kelemahan-kelemahan itu diatasi? Jika boleh, bagaimanakah untuk mengatasinya?

0 pandangan dari kamu:

 

perkongsian sebagai peringatan Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea