^_^ Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum ^_^

Photobucket

thanks for click it !! ^_^

Friday, February 19, 2010

Saluran... Pastikan Jangan Tersumbat (Bahagian Akhir)

^_^ lina mursyidah hamzah at 4:13 AM
Bagaimana Bentuk Saluran Tersumbat Dalam Sesebuah Organisasi & Penyelesaiannya Masakini

Biasanya apabila muncul kritikan, teguran dan pandangan secara terbuka terhadap mana-mana organisasi maka terpancullah kalimat penyedap dan penyelamat ini dari pimpinan, ‘Sebenarnya kita terbuka. Cuma kita mahu setiap kritikan mestilah ikut saluran’, ‘kita sedia berbincang’ dan macam-macam lagi.

Tegur menegur memang bagus. Kadang-kadang dipanggil ingat mengingati, muhasabah atau nasihat menasihati. Allah swt pernah tegur Nabi saw yang berpaling daripada orang buta kerana memberi perhatian kepada pemuka Quraisy sehingga teguranNya itu terpahat dalam al quran Surah ‘Abasa.

Persoalannya kenapa dewasa kini, kritikan, aduan dan teguran serta pandangan untuk organisasi dibuat secara terbuka. Sebabnya ialah kerana tindakan demikian dilihat lebih diberi perhatian oleh pimpinan organisasi dan keduanya mungkin ‘saluran’ untuk berbuat demikian telah tersumbat atau kabur.

Contohnya baru-baru ini kita lihat bagaimana rintihan isteri yang memohon wang simpanan suaminya bagi membiayai kos hospital, tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan walaupun dibuat mengikut saluran. Namun apabila dibuat secara terbuka di media lalu terus diluluskan.

Cadangan dan pandangan serta kritikan terhadap SPR yang dibuat ‘ikut saluran’ tidak mendapat perhatian tetapi apabila ia dibuat secara terbuka dengan mengadakan himpunan ‘BERSIH’, barulah ada sedikit tindakan yang agak positif sehingga pengerusinya bersedia untuk bertemu dengan wakil BERSIH dan parti politik.

Kita juga boleh lihat bagaimana pantasnya pihak-pihak yang berkenaan apabila masalah dan aduan rakyat dibuat secara terbuka di media seperti TV3 dan seumpamanya sedangkan sebelum itu, telah dibuat mengikut saluran, tapi tiada tindakan.

Begitulah perbezaan antara kritikan, aduan, teguran atau mengemukakan pandangan yang dibuat ‘secara terbuka’ berbanding dengan ‘ikut saluran’.

Tetapi sekiranya organisasi tersebut mempunyai mekanisma yang baik dalam menerima aduan dan kritikan serta pandangan ahli maka saya yakin tiadalah aksi ‘secara terbuka’ yang amat tidak disukai oleh pimpinan organisasi. Lebih selamat lagi sekiranya pimpinan organisasi bertindak pantas dengan mengambil tindakan segera menyelesaikan aduan atau kritikan yang ditimbulkan ahli bawahannya.

Hayatilah kisah Saidina Umar r.a dalam menangani aduan penduduk Himsh yang mana Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Umar r.a sebagai gabenor mereka. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.

Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar r.a mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin ‘Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya Ya Umar :

1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan atau menyelesaikan masalah kami.

2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.

3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.

4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.

Lalu Saidina Umar r.a memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’, dengan harapan agar setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab, Wahai Umar, saya rasa tak wajar saya menceritakan masalah peribadiku namun kerana adanya aduan maka aku terpaksa menjelaskannya.

1. Wahai Umar, saya tidak menerima kunjungan tetamu pada waktu malam kerana saya telah jadikan waktu malam untuk Allah sedangkan waktu siang hari untuk manusia/rakyat jelata.

2. Wahai Umar, saya sering datang lewat ke pejabat kerana saya tidak mempunyai orang gaji maka saya sendirilah yang menguli tepung gandum sehingga ia mengembang lalu dibakar untuk diberi makan kepada keluarga aku.

3. Wahai Umar, saya hanya mempunyai sehelai sahaja baju untuk dipakai. Dalam sebulan ada satu hari saya membasuh pakaianku itu. Saya tunggu pakaian itu kering barulah saya pergi ke pejabat.

4. Wahai Umar, sewaktu saya masih kafir, saya pernah menyaksikan seorang sahabat Nabi saw bernama Khubaib bin ‘Adiy,yang menerima siksaan dari Orang Kafir Quraisy yang telah mencederakan tubuhnya di hadapanku namun aku tidak menolongnya. Apabila aku teringat akan peristiwa itu, tak semena-mena aku rasa terkilan dan terasa berdosa. Sebab itulah aku keluar dari majlis.

Kisah ini mempunyai banyak pengajaran yang tertentu. Antaranya ialah :

1. Aksi Saidina Umar r.a yang berusaha membuat lawatan ke Himsh menggambarkan sikap ambil berat pemimpin terhadap setiap aduan atau masalah yang ditimbulkan lalu menyelesaikannya dengan pantas agar api fitnah tidak terus menyala.

2. Aksi sedemikian juga menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a berusaha untuk mendengar sendiri aduan rakyat tanpa mengutus wakil sebagai ‘orang tengah’. Kerana kadang-kadang orang tengah banyak menyembunyikan fakta dan realiti sebenar yang boleh menjejaskan kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu.

3. Apabila ada aduan yang berupa dakwaan maka Saidina Umar r.a menunjukkan keadilannya dengan memberi peluang kepada Said bin ‘Aamir untuk menjawab segala dakwaan/aduan dari rakyatnya secara terbuka. Manakala dakwaan dan jawapan itu pula dibuat di hadapan rakyat jelata agar rakyat sendiri dapat menilai penjelasan yang sebenar dari kedua-dua belah pihak.

Sehubungan dengan itu kita melihat bahawa ada organisasi yang pemimpinnya sanggup bersemuka dengan orang bawahannya secara terbuka asalkan ianya dapat menyelesaikan masalah sehingga membawa ketenangan dan kebaikan kepada organisasi yang dipimpin.

Walau bagaimanapun, menyelesaikan masalah samada berupa aduan, kritikan, teguran dan cadangan, boleh juga dibuat dengan mengikut saluran sekiranya itu satu kaedah yang berkesan bahkan sememangnya itu adalah kaedah yang lebih beradab dan berakhlak.

Namun, kenapakah wujud kritikan, teguran dan pandangan yang dibuat secara terbuka oleh ahli atau anggota terhadap satu-satu organisasi yang dianggotainya sedangkan saluran untuk berbuat demikian telahpun disediakan? Banyak sebabnya. Antaranya ialah kerana disebabkan saluran yang disediakan itu, didapati tersumbat atau kabur. Apakah bentuk-bentuk saluran yang dikatakan ‘tersumbat’ yang biasanya berlaku dalam sesebuah organisasi? Antaranya ialah :

1. Pemimpin organisasi samada yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan seumpamanya bersikap diktator atau bahasa mudahnya disebut ‘tak nak dengar cakap orang lain’. Atau …

2. Pemimpin bersifat terbuka tetapi orang di kiri kanannya pula (samada setiausaha organisasi atau setiausaha peribadi) yang menyekat maklumat dan kritikan, teguran dan pandangan dari sampai ke pengetahuan pemimpin. Atau …

3. Pemimpin bersifat terbuka tetapi gaya dan penampilannya pula tidak mesra sehingga orang merasakan beliau seorang yang susah bergaul apatah lagi hendak mendengar aduan dan masalah. Atau …

4. Dalam mesyuarat tiada ruang yang cukup untuk mengemukakan pandangan, kritikan, teguran atau muhasabah. Atau ..

5. Ada ruang yang cukup dalam mesyuarat untuk berbuat demikian tetapi pengerusi mesyuarat atau pimpinan kanan organisasi bersifat ‘suka potong cakap’ ahli mesyuarat. Atau …

6. Kritikan, aduan, teguran dan pandangan telah dibuat mengikut saluran organisasi menerusi setiausaha oraganisasi atau setiausaha ketua jabatan tetapi ianya tidak dipanjangkan atau diistilahkan sebagai dibakul sampahkan kerana mungkin kritikan, aduan, teguran serta pandangan itu menyentuh hal peribadi setiausaha atau rakan-rakan setiausaha atau pimpinan yang boleh dirumuskan sebagai menyentuh kepentingan mereka yang berkepentingan. Atau …

7. Tiada ketelusan dipihak pengurusan organisasi di mana mereka yang mengemukakan aduan secara resmi dengan mengikut saluran akan dipandang serong atau diboikot bahkan mungkin terpencil dari organisasi. Atau …

8. Sikap tidak mengambil berat pimpinan terhadap kritikan dan cadangan walaupun ia dikemukakan mengikut saluran utama organisasi seperti di dalam mesyuarat agung tahunan atau muktamar.

Ini adalah bentuk-bentuk yang boleh dianggap ‘saluran tersumbat’ yang saya rumuskan dalam beberapa seminar yang pernah saya uruskan untuk kakitangan kerajaan dan swasta. Rumusan di atas dipersetujui dan diperakui oleh peserta yang hadir sebagai antara sebab kenapa mereka memendam rasa atau mereka membuat kritikan secara terbuka di dalam blog atau membuat surat layang.

Untuk menjadikan kritikan, teguran dan pandangan itu positif, bermanfaat dan berguna bagi merubah organisasi sehingga menjadi sebuah organisasi yang cemerlang maka diperturunkan beberapa cadangan berikut :

1. Pemimpin organisasi yang bernama Ketua Jabatan, Pengerusi, Presiden dan barisan pemimpinnya hendaklah jujur dalam menerajui organisasi lebih-lebih lagi organisasi yang bernama jamaah atau gerakan Islam. Rasa jujur dan bertanggungjawab juga hendaklah ada di jiwa petugas organisasi yang berhubung kait dengan pemimpin seperti setiausaha, setiausaha kerja, setiausaha peribadi dan seumpamanya.

2. Ruang untuk menyuarakan pendapat atau muhasabah hendaklah dibuka sebaik mungkin agar ahli atau AJK Tertinggi Organisasi dapat meluahkannya dengan penuh tanggungjawab tanpa halangan dari pengerusi/presiden dan pimpinan kanan organisasi.

3. Menyediakan mekanisma terkini dalam menerima aduan dan cadangan dengan menerima pakai aduan, kritikan atau teguran serta cadangan yang dibuat menerusi e-mail dan sms.

Mekanisma ini telah diterima pakai sebagai sah oleh kebanyakan jabatan kerajaan termasuk bank-bank yang amat mengambil berat mengenai kebertanggungjawaban dan kesahihan. Aduan dan cadangan menggunakan surat dan mesti bertandatangan sudah boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Bukankah kita pernah menerima e-mail atau sms dari pihak-pihak tertentu dan ianya dianggap sah termasuk surat yang tertulis “Surat ini adalah cetakan berkomputer dan tidak memerlukan tandatangan”?.

4. Menubuh Jawatankuasa Urusan Aduan & Cadangan Ahli (JUADAH) yang dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan dalam organisasi. Keutamaan harus diberikan kepada mereka yang tidak berada dalam struktur organisasi.

5. Tugas JUADAH ialah :

a. Menerima aduan dan cadangan-cadangan dari ahli menerusi sumber yang sah samada menerusi surat, e-mail atau sms.

b. Meneliti dan menyerah aduan atau cadangan yang diterima, kepada AJK Tertinggi Organisasi untuk diambil tindakan oleh mereka yang berkaitan dengan aduan atau cadangan. Umpamanya aduan yang berkaitan dengan lajnah atau biro ekonomi hendaklah diserah kepada pengerusi lajnah atau biro terbabit. Aduan yang berkaitan dengan organisasi hendaklah diserah kepada Pengerusi atau Presiden atau Setiausaha Agung Organisasi terbabit untuk dibincang dalam AJK Tertinggi.

c. Memberi tempoh yang cukup kepada AJK Tertinggi Organisasi atau lajnah/biro yang berkaitan dengan aduan atau cadangan itu, untuk memberi respon atau mengambil tindakan terhadap aduan dan cadangan tersebut.

d. Memaklumkan kepada pengadu status tindakan terhadap aduan dan cadangan yang telah atau yang akan diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap aduan atau cadangan tersebut.

Yakinlah bahawa seandainya saluran untuk membuat kritikan, teguran dan mengemukakan cadangan disediakan secara sistematik dan diurus dengan jujur, penuh tanggungjawab maka sesuatu organisasi itu akan terhindar dari fitnah ‘peperangan alam maya’ dengan menggunakan senjata blog. Dan kalau pun ada, mungkin ianya boleh diklasifikasikan sebagai ‘peluru sesat’.

Seperkara yang harus diingat kepada pemimpin organisasi, jangan sama sekali berlaku tidak adil atau melakukan kezaliman apabila menerima aduan. Jangan jadi seperti orang yang membuat lapuran polis lalu pelapurnya yang disiasat, bukannya apa yang dilapurkan.

Sebagai seorang mukmin apatah lagi mukmin yang berada dalam organisasi jamaah atau gerakan Islam, hendaklah kita sentiasa merasakan seolah-olah kita melihat Allah dan kalau perasaan sedemikian tidak dirasai di hati dan jiwa kita maka sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat kita.

Ingatan saya ini adalah untuk saya, para pemimpin jamaah Islam dan penyokong-penyokong yang aktif menulis blog. Wallahu ‘A’lam.

sumber> http://aksidakwah.blogspot.com

0 pandangan dari kamu:

 

perkongsian sebagai peringatan Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea