^_^ Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum ^_^

Photobucket

thanks for click it !! ^_^

Friday, August 20, 2010

PENTING....!!!

^_^ lina mursyidah hamzah at 11:33 PM 0 pandangan dari kamu
Kepentingan Bersyukur, Bersedekah dan Menghargai

Oleh: leedee
Editor: Rasailul Ashwaq





Kita seharusnya menyedari dengan keyakinan yang hakiki bahawa kita telah mempunyai segalanya pada masa ini, kerana dengan menghayati apa yang kita miliki pada waktu inilah baru kita dapat merasai kehidupan yang diimpikan. Kita mesti belajar untuk menerima dan reda terhadap kehidupan kita pada masa ini. Kita hidup di dunia yang serba cukup, walaupun majoriti manusia berpendapat bahawa dunia ini kejam dan sentiasa tidak cukup.


Sebenarnya, anugerah Allah adalah tidak terbatas; ia merangkumi perkara-perkara baik, perkara-perkara yang indah dan pengalaman yang menarik dan berguna. Segalanya adalah mencukupi bagi semua makhluk-Nya, sentiasa cukup! Selama ini kita telah tertipu, kita telah dipengaruhi oleh pendapat yang tidak benar yang mengajar kita bahawa hidup ini penuh derita, sengsara dan sumber-sumber yang terhad. Hakikatnya, kehidupan kita serba cukup dan kita mampu memiliki apa yang kita mahu.



Hasan al-Basri ketika ditanya tentang rahsia zuhudnya, dia menjawab:

"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itulah kalbuku selalu tenang. Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan orang lain, kerana itulah aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah mengawasiku, kerana itulah aku selalu merasa malu Dia melihatku dalam keadaan maksiat. Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah."


Ramai daripada kita berfikiran bahawa siapa kita, apa yang kita ada, apa yang kita lakukan, adalah tidak mencukupi. Ini adalah satu pendapat yang salah. Kita telah belajar tentang Hukum Tarikan, dan bila mana tanpa kita sedari kita masih beranggapan bahawa kita belum serba cukup dalam hidup, kita sebenarnya menarik gelombang ketidakcukupan ke dalam hidup kita.


Kita mesti mengakui bahawa diri kita pada saat ini adalah cukup sempurna sebagai manusia, dalam konteks kesempurnaan seorang hamba. Kita cukup sempurna, sebagaimana diri kita sekarang ini. Sekiranya kita tidak mahu mengakui hakikat ini, kita akan sentiasa merasa tidak puas hati dengan apa yang kita ada, dan kita akan merasa sukar untuk mensyukuri nikmat-Nya. Barang siapa yang mengira lenyapnya kasih sayang Allah daripada ketetapan (qadar) Allah, pemikiran ini adalah kerana dangkalnya pandangan iman.



Menduga-duga tentang pemberian Allah, terutama dengan berburuk sangka ke atas nikmat-nikmat-Nya adalah perbuatan dosa. Seorang hamba dilarang menduga bahawa Allah telah mengurangkan kasih sayang dan pemberian-Nya kerana sesuatu bencana yang sedang dialami oleh si hamba tadi. Bagaimana kita membuat ukuran untuk berasa puas hati dengan hidup dan seterusnya bersyukur?



Kita tidak perlu menunggu sehingga segala impian kita tercapai untuk dapat menikmati dan menghayati rasa kecukupan dalam hidup ini. Jika kita berfikiran begini, kita tidak akan dapat merasai nikmat kehidupan dan kita tidak akan berupaya untuk berasa ikhlas dalam mengucapkan syukur kita kepada Allah.



Apa kata jika kita selarikan fikiran dan perasaan kita dengan rasa serba cukup?Anda adalah sempurna sebagai seorang manusia. Anda adalah seorang yang mempunyai segalanya daripada segi rohaniah, jiwa dan semangat; yang membolehkan anda memiliki apa yang anda inginkan dalam kehidupan dan mencapai cita-cita dan matlamat hidup anda.Berpuas hati dan bersyukurlah dengan apa yang anda telah miliki sekarang ini.



Katakanlah pada diri anda, "Aku berpuas hati dengan apa yang aku telah miliki, dengan segala yang telah dikurniakan Allah kepadaku selama ini - kasih sayang, kebahagiaan, perlindungan, keselamatan, segalanya ada padaku, anugerah dari Allah yang Maha Kaya Raya, Maha Suka Memberi, Maha Pemurah, Maha sebaik-baik pelindung."



Mulakan dari saat ini, dengan apa yang telah ada pada kita pada saat ini. Tetapkan matlamat kita, kenal pasti apa yang kita inginkan, yakini bahawa kita pasti akan dapat mencapai matlamat dan apa jua impian kita. Cuba rasakan bahawa kita telah pun mencapainya.
Apabila kita memohon dengan 1husnul zhon dan penuh rasa syukur kerana telah dapat menghayati rasa cukup dalam hidup, 2InsyaAllah, doa kita akan cepat dimakbulkan. Oleh sebab itulah, kita bukan sahaja perlu memahami Hukum Tarikan bahkan juga memahami Hukum Kecukupan.


Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian, sesempurna kejadian seorang manusia yang diberi tugas besar sebagai Khalifah di muka bumi ini. Maka, Allah telah membekali manusia dengan pelbagai keistimewaan berbanding makhluk Allah yang lain.


Masihkah anda ingat akan firman Allah mengenai kecukupan alam?


Maksudnya: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan tadi, buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu, dan dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk berlayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu mengambil manfaat darinya. Dan dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan dia yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu mahu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia yang ingkar sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya."

(Surah Ibrahim: Ayat 32-34)


Kita dihidupkan dalam satu keadaan di mana diri kita bersambung dengan aliran tenaga. Apabila kita telah membuat keputusan untuk mengubah cara berfikir kepada sentiasa cukup, maka kita telah menarik tenaga-tenaga sentiasa cukup itu dalam hidup kita. Kecukupan/kesempurnaan bukan bermakna hanya cukup-cukup, tetapi mewah dan tidak putus-putus. Segala yang anda inginkan, anda boleh perolehi dengan jumlah yang maksima.


Kebahagiaan tidak diukur dengan jumlah wang, berapa besar rumah anda, atau berapa mahalnya kereta anda, tetapi kebahagiaan sebenarnya adalah apabila anda benar-benar merasakan kebahagiaan dalam hati anda, dengan apa yang telah anda miliki, dan juga apabila anda mendapati hati anda berasa tenang dan aman dengan apa yang anda ada pada hari ini (tidak lagi merasakan anda perlu itu, perlu ini, baru anda boleh senyum).


Apabila kita telah berjaya mengajar diri kita untuk mendapat kebahagiaan dalaman (jiwa/rohani), barulah kita dapat menarik kebahagiaan material (luaran) ke dalam kehidupan kita (semak Hukum Tarikan dan frekuensi positif). Maka, terapkan dalam hati kita sekarang ini, "Aku bersyukur dan bahagia dengan apa yang Allah kurniakan kepadaku selama ini - I have plenty." Bersyukurlah dan berbanggalah dengan apa yang anda ada sekarang. Dari situ, anda akan dapat menambahkan lagi apa yang anda belum capai.


Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Sesungguhnya, kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman, supaya dia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia telah bersyukur bagi faedah dirinya sendiri, dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji."

(Surah Luqman: Ayat 12)




Bagaimanakah caranya untuk membebaskan diri kita daripada berprasangka tidak cukup dan membawa diri kita ke arah menghayati Hukum Kecukupan?


1. Belajar menghargai dan bersyukur


Hargai dan syukurilah setiap sesuatu yang anda miliki. Ia tidak semestinya harta material, ia boleh jadi kesihatan dan usia anda. Setiap hari masih ada makanan untuk anda makan, masih ada orang yang mahu menegur anda, masih ada orang yang mengucapkan "Selamat pagi", atau "Salam sejahtera", atau "Assalamualaikum."


Syukurilah segala nikmat Allah daripada sekecil-kecil perkara yang selama ini tidak kita hiraukan seperti udara yang percuma, keupayaan membuang air kecil, kesempurnaan deria anggota tubuh badan, dan sebagainya lagi yang tidak mungkin dapat kita sebutkan satu persatu akan nikmat Allah pada makhluk-Nya yang bernama manusia ini.Adalah sangat mudah untuk menyebutkan perkara-perkara yang anda tidak miliki, tetapi luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk mensyukuri sekurang-kurangnya pada lima perkara yang anda perolehi pada hari tersebut.


a) Bayangkan seorang kanak-kanak kecil yang anda kenali, yang anda berikan hadiah atau makanan, tetapi kanak-kanak itu tidak menghargainya, malah membuangnya atau mengutuk pemberian anda itu. Apakah kebarangkalian untuk anda membelikan lagi hadiah kepada kanak-kanak tersebut?


b) Bagaimana pula jika kanak-kanak itu menunjukkan perasan gembira dan suka pada pemberian anda itu? Mengucapkan terima kasih, menjaga dengan baik hadiah pemberian anda, sering menunjukkan pada anda hadiah itu setiap kali anda berjumpa dengannya. Bagaimanakah pula kebarangkalian untuk anda memberikan lagi hadiah kepada kanak-kanak tersebut?


Begitulah perbandingan antara Tuhan dan hamba-hamba-Nya.


Firman Allah, maksudnya:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya, azabKu amatlah keras."

(Surah Ibrahim: Ayat 7)


Oleh itu bersyukurlah, berterima kasihlah, dan Allah akan menambahkan lagi apa yang anda miliki. Jika dalam Hukum Tarikan, kita belajar bahawa mewujudkan keinginan itu amat penting, maka dalam Hukum Kecukupan, kita mempelajari bahawa mensyukuri dan menghargai nikmat itu amat penting. Kedua-dua perkara ini saling berkait rapat antara satu sama lain.


2. Bina Persekitaran Baik


Jangan isikan hidup kita dengan perkara-perkara yang sebenarnya kita tidak benar-benar perlukan. Ini adalah pembaziran. Walaupun anda seorang jutawan, tidak bermakna anda boleh membazir. Ingat! Membazir adalah sifat syaitan dan perlu dijauhi.


Tanya diri anda setiap kali anda keluar untuk berbelanja, apakah barangan yang ingin anda beli itu, benar-benar anda perlukan atau tidak. Kecukupan bukan bermakna diri kita penuh dengan barangan-barangan yang kita tidak perlukan. Kecukupan dalam hidup adalah dengan mencari dan memperolehi perkara-perkara dan pengalaman yang benar-benar berguna untuk diri anda.


Contohnya, kadangkala kita membeli sesuatu barangan kerana kita diberitahu oleh kawan bahawa kita perlu ada barangan tersebut. Mungkin bagi kawan kita, barangan itu memang berguna untuk dirinya, tetapi tidak pada kita. Maka elakkanlah perkara ini dari berlaku. Kenalpasti keinginan anda!

Mulakan membersihkan persekitaran peribadi anda seperti bilik anda, daripada barang-barang yang tidak digunakan lagi atau yang tidak anda perlukan. Isikan almari anda dengan pakaian-pakaian yang anda perlukan. Pakaian yang memang tidak dipakai lagi bolehlah disedekahkan pada orang yang memerlukannya.


Kemas meja anda daripada nota-nota atau kertas yang lebih merupakan sampah sahaja. Kemaskini dokumen-dokumen anda dengan sistem fail yang tepat dan kemas. Bersihkan longkang di rumah anda, atau kosongkan tong sampah anda. Berdisiplinlah dengan hidup ini. Buang semua cara berbelanja yang membazir. Bebaskan pemikiran, cara bercakap, apa yang anda percaya, tindakan-tindakan anda, yang selama ini berasaskan tidak cukup dan tidak puas.


3. Bersedekah .


Jadilah seorang yang pemurah. Kita sentiasa inginkan agar Allah menunjukkan sifat pemurah-Nya pada kita, tetapi adakah kita seorang yang pemurah dengan kemampuan diri yang ada pada kita? Dalam Islam, bagi satu sedekah, ganjarannya adalah sepuluh kali ganda. Maksudnya, setiap satu sedekah yang ikhlas dari kita, maka Allah akan membalas balik dengan sepuluh kali ganda daripada apa yang telah kita sedekahkan. Dalam Hukum Tarikan, amalan bersedekah amat disarankan kerana dengan bersedekah, kita menghantar gelombang bahawa kita mempunyai lebihan wang, maka kita menarik tenaga kecukupan pada diri kita.


Sedekah juga mengajar hati kita menjadi bersih, ikhlas dan dapat menghayati serta memahami kesusahan orang lain. Maka jadilah seorang yang dermawan. Senyum juga satu sedekah. Bersedekahlah dengan apa yang anda miliki, tidak semestinya dengan wang. Anda juga boleh berdoa untuk kesejahteraan orang lain, menyedekahkan tenaga dan sebagainya dengan ikhlas.


Rezeki dalam bentuk apa pun jua, adalah tenaga, sebagaimana yang kita semua faham bahawa seluruh alam ini, termasuk diri kita, adalah terdiri dari zarah-zarah atom yang merupakan tenaga. Tenaga bergetar dan bergerak dalam satu aliran yang tersendiri. Cuba kita lihat pergerakan udara (angin) dalam sebuah bilik yang tertutup, hanya tingkapnya sahaja yang terbuka. Kebarangkalian untuk angin mengalir masuk melalui tingkap adalah amat sedikit, walaupun masih ada cukup udara dan oksigen. Sekarang, kita buka pintu bilik itu. Anda akan dapat rasakan angin mula masuk melalui tingkap dan keluar melalui pintu, kerana sudah ada aliran untuk udara keluar masuk. Begitu jugalah dengan rezeki dan kecukupan diri kita. Rezeki akan datang melimpah ruah andainya kita sedia berkongsi apa yang kita perolehi (bersedekah/murah hati) dengan orang lain.Tidak semestinya wang, ilmu juga jika disimpan, tidak diamalkan dan tidak disampaikan, ianya tidak akan bertambah, malah menjadi semakin malap.


4. Maafkan semua perkara yang menyakiti anda .


Bebaskan hati anda daripada dendam. Apabila anda masih menyimpan kemarahan, tidak kira atas alasan apa pun, sebenarnya anda hanya menyakiti diri anda. Dendam dan marah hanyalah membuatkan kita sentiasa hidup pada hari semalam, iaitu hari di mana kita rasa disakiti. Ini hanya akan menyulitkan kita untuk maju ke hadapan dan memiliki masa depan yang lebih baik. Oleh itu, lepaskanlah... ‘Let it go, let it go... Release it, let it go...'


Antara cara terbaik untuk menghilangkan kemarahan ialah dengan menulis sepucuk surat atau senarai mengenai segala apa yang anda marahkan selama ini. Tulislah kesemuanya hingga anda dapat merasakan kemarahan anda telah pun berpindah ke atas kertas itu dan kemudian, bakarlah kertas tersebut. Maafkan sesiapa yang telah melukakan hati anda, atau bersalah dengan anda. Luangkanlah masa 10 minit sehari dengan mengucapkan:

Aku maafkan dan bebaskan... dan aku harap mereka bahagia dan mereka akan pergi dariku...'


Antara kebaikan yang akan anda rasai apabila anda memaafkan seseorang ialah:

1. Hati akan menjadi bersih.

2. Fikiran menjadi tenang.

3. Penyakit rohani dan jasmani mudah sembuh.

4. Wajah lebih cantik/tampan kerana wajah adalah cermin hati.

5. Suntikan hidayah akan memasuki jiwa anda.

6. Rezeki akan dipermudah dan mula melimpah ruah.

7. Mula dapat merasakan kehadiran kasih sayang yang banyak daripada pelbagai sudut.

8. Diri akan menjadi lebih produktif kerana anda lebih bertenaga dan bersemangat.

9. Doa cepat dimakbulkan.

10. Kemampuan tenaga zahir dan batin akan meningkat.


Praktikkan cara-cara ini, semoga anda akan dapat menukar minda anda kepada manusia yang berfikiran serba cukup. Dengan mengamalkan Hukum Kecukupan ini, semoga Hukum Tarikan yang anda amalkan akan mudah dimanifestasikan. Semoga kita semua beroleh rahmat dan petunjuk dari Allah s.w.t sentiasa.


Ingatlah, hidup ini adalah indah apabila kita benar-benar bersyukur. Segalanya terletak pada hati dan fikiran kita. Kita harus melihat pemberian Allah dengan mata rohani, sehingga mampu merasakan kekayaan rohani yang kita miliki itu adalah pemberian Allah. Keselamatan, kesihatan, ketenangan, keyakinan iman dan banyak lagi lainnya, adalah kekayaan rohani yang sangat mahal harganya. Allah s.w.t. tidak pernah melupakan hamba-hamba-Nya, tetapi manusialah yang lupa kepada-Nya. Sedikit sekali manusia yang bersyukur kepada-Nya.


Sabda Rasullullah s.a.w., maksudnya:

"Pada anggota manusia itu, ada seketul daging, jika baik daging itu, maka akan baiklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, bahawa yang dimaksudkan dengan daging itu, adalah hati."

(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)




Monday, August 9, 2010

saksi~

^_^ lina mursyidah hamzah at 7:27 PM 0 pandangan dari kamu
gunakan kesempatan yang maish diberi
moga kita takkan menyesal
masa usia kita jangan disiakan
kerna ia takkan kembali..
sebab
akan datang hari..mulut dikunci..kata tak ada lagi
akan tiba masa..tak ada suara dari mulut kita
berkata..tangan kita tentang apa yang dilakukannya
berkata..kaki kita ke mana saja ia melangkah
tidak tahu kita..bila akhirnya..tanggungjawab tiba

"pada hari ini Kami tutup mulut mereka ; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang terdahulu mereka usahakan" (36:65)

Saturday, August 7, 2010

alhamdulillah..bahagia~

^_^ lina mursyidah hamzah at 10:09 AM 0 pandangan dari kamu
miliki ilmu agar tak terhina
milikilah harta agar tak diremehkan dan
tak dipandang sebelah mata
milikilah cinta agar hidup lebih bahagia
tarbiyah bikin hidup lebih berguna
dakwah bikin usia kita berlipat ganda
aktivitas terarah menjadikan hidup lebih berkah
hidup berjemaah adalah cara meraih syurga
jangan pernah merasa terpaksa
jangan melangkah setengah hati
agar tak menyesal nanti
jangan merasa paling menderita
jangan mudah berputus asa
dan berbahagialah~~
dan..sediakanlah ruang hati yang lebih luas untuk kata "BAHAGIA"

p/s : jalan mujahadah itu jalan yg Allah suka..'derita' dan 'sakit' itu hanyalah istilah dunia..kerna kita tahu kita akan 'bahagia' dan 'gembira' di akhirat sana..jika kamu meletakkan dunia di hati kamu, maka kamu akan rasa sakit dan deritanya jalan ini..namun jika kamu meletakkan akhirat di hati kamu, kamu tidak kan pernah merasa derita malah berasa bahagia dan tak sabar mahu bertemu denganNya..

kita buat perkara yg Allah suka..harusnya hati kita gembira n bahagia sbb melakukannya..bukan merasa sakit dan derita! jika luaran menyatakan kita cinta Allah..apakah kita akan merasa sedih dan derita melakukan perkara yg Allah suka?

Friday, August 6, 2010

tenang untuk menang

^_^ lina mursyidah hamzah at 7:02 PM 0 pandangan dari kamu
ada empat kunci ketenangan hidup. " Aku bisa tenang menjalani hidup ini kerana empat hal."

1. aku tahu bahawa rezekiku tidak akan jatuh ke tangan orang lain, maka hatiku menjadi tenang.
2. aku tahu bahawa tugasku tidak akan dikerjakan orang lain, maka aku akan sibukkan diri aku dengannya.
3. aku tahu bahawa Allah selalu melihatku, maka aku malu jika aku menjatuhkan diriku dalam lumpur dosa.
4. aku tahu bahawa ajal itu pasti datang, maka aku selalu bersiap-siap menantinya

- Imam Hasan Al Basri-

Thursday, August 5, 2010

JEJAK

^_^ lina mursyidah hamzah at 8:38 PM 0 pandangan dari kamu
menapaki langkah-langkah berduri
menyusuri rawa lembah dan hutan
berjalan di antara tebing jurang
semua dilalui demi perjuangan

letih tubuh di dalam perjalanan
saat hujan dan badai merasuki badan
namun jiwa harus terus bertahan
karena perjalanan masih panjang

kami adalah tentera Allah
siap melangkah menuju ke medan juang
walau bertatih kaki ini berjalan
jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan

wahai tentera Allah bertahanlah
jangan menangis walau jasadmu terluka
sebelum engkau bergelar syuhada
tetapkanlah bertahan dan bersiap-siagalah

meidani
khamis 4 september 2008
universiti sumatera utara

Tuesday, August 3, 2010

Membentuk Kemahiran Membaca Kanak-kanak

^_^ lina mursyidah hamzah at 9:48 AM 0 pandangan dari kamu


Kata orang bijak pandai, "Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan." Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.

Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi.
Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan "mama" dan "papa". Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

* Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.

* Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

* Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, "Ni apa?" atau "Apa tu?" Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.


Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak.

Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

* Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.

* Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.

* Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.

* Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.

* Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.

* Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.

* Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.

* Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.


Kesan tidak tahu membaca.

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar. Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar. Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar. Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk. Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba. Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.


Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

* mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.

* belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.

* kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.

* rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.

* kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun

* peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.

* terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.

* perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.

* kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.

* pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.

* mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun

* perkembangan otak memasuki fasa terakhir.

* kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.

* corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.

* mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.

Walau bagaimana pun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.


Membantu kanak-kanak membaca.

Mengajar kanak-kanak berminat dengan membaca adalah sangat penting. Terdapat beberapa panduan yang mudah bagi melaksanakan usaha anda.

1. Jadikan membaca satu tabiat. Jemput kanak-kanak membaca dengan anda setiap hari. Bantu anak anda membaca dari kiri ke kanan dan memahami setiap perkataan yang dikatakannya, dari satu perkataan ke satu perkataan.

2. Bacakan buku yang sukai kanak-kanak berkali-kali. Mereka akan mempelajari perkataan baru dan mengingat cerita yang mereka sukai. Seterusnya akan diceritakan kepada rakan-rakannya pula.

3. Bacakan cerita dengan rentak perkataan yang berkaitan dan ulang beberapa kali. Contohnya perkataan "terkejut." Tunjukkan bagaimana mimik muka dan nada suara "terkejut" kepada anak anda. Tunjukkan perkataan demi perkataan sepanjang sesi membaca berkenaan.

4. Bincangkan perkataan baru dan buatkan mereka bermain-main dengan perkataan itu. Contohnya: Rumah yang besar ini adalah istana. Siapa yang kamu fikir akan tinggal di istana?
Jika ada gambar, tanya apa yang dilihat dan kaitannya dengan cerita berkenaan.
Bacakan buku yang mempunyai pelbagai jenis cerita kanak-kanak seperti kisah sirah nabi, kamus bergambar, puisi dan buku-buku bermaklumat yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.

 

perkongsian sebagai peringatan Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea