^_^ Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum ^_^

Photobucket

thanks for click it !! ^_^

Thursday, December 30, 2010

K.S.U.B

^_^ lina mursyidah hamzah at 11:13 PM 0 pandangan dari kamu
KICK START UNTUK BERJAYA

Seringkali persoalan tentang penggunaan masa dan usaha bermain dalam kehidupan harian kita terutamanya bagi yang masih belajar. Namun, persoalan yang sama bukanlah asing bagi yang sudah bekerja atau yang sibuk menguruskan rumah tangga.

Pernahkah kita sedari bahawa penggunaan masa yang berkesan banyak menyumbang kepada kejayaan? Pernahkan kita terfikir mengapa sejak dari kecil kita terperangkap dengan persoalan yang sama walaupun pengalaman kita semakin bertambah seiring peningkatan usia?

Kita diuji

Setiap makhluk yang dicipta Allah akan merasakan pahit dan manis kehidupan. Itu sunnatullah yang ditetapkan Allah. Sepertimana firman-Nya:

Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al-Baqarah (2: 214)

Jelas bahawa hidup manusia itu penuh dengan ujian. Hakikatnya ujian itulah sumber kekuatan, membantu kita untuk taqarrub kepada Allah. Ujian masa adalah salah satu cara kita diuji-Nya. Begitu jugalah masa, hanya yang mampu lepas ujian itu mampu memanfaatkan masa sebaiknya. Setiap manusia mempunyai cara berbeza untuk beradapatasi dengan kekangan masa. Ada yang menjadi positif dan lebih menguruskan masa bila tahu masanya hampir tiada. Namun, ada juga yang terus leka dan sambil lewa dalam menghadapi kesuntukan masa. Kelapangan masa juga ujian, ke mana kita gunakan? Ke arah keredhaan atau kemurkaan? Bagaimana anda? Bagaimana saya? Tanyalah diri, andai kita masih "selesa" dengan kelapangan masa, fikir-fikirkanlah kembali.

Putaran masa

"Hidup ibarat roda, kadangkala kita di atas, ada masanya di bawah".

Hakikat masa juga selari dengan ungkapan di atas. Kita melihat setiap detik terus berlalu dengan helaan nafas pinjaman Illahi. Saya yakin kita semua pernah mengalami "zaman keemasan" masing-masing. Mungkin ia berlaku semasa masih di sekolah rendah, atau bila menjejak sekolah menengah. Ada juga yang baru merasai saat-saat manis itu di zaman unversiti atau semasa bekerja. Hakikatnya, kita pasti pernah merasa. Bukankah indah jika saat itu berulang? Namun, wajarlah untuk kita menyedari bahawa Allah itu maha Adil, sedangkan malam dan siang sering di pergilirkan, begitu jugalah dengan kejayaan dan kegagalan.

Sahabat-sahabatku,

Di sini saya ingin mengajak agar kita semua berfikir tentang hikmah setiap kejadian yang menimpa kita. Pahit manis kehidupan itu menyumbang kepada pengalaman dan akhirnya menjadi pengajaran buat kita. Allah memberi ruang untuk kita berfikir sejauh mana kita menggunakan nikmat masa yang diberikan dengan sebaiknya. Bila berjaya, pernahkah kita terfikir satu masa kita akan jatuh dan tenggelam dalam kesedihan?

Kickstart buat kita

"Kesenangan yang datang tak akan selamanya, begitulah selepas susah ada kesenangan.."

Bait lagu "Kehidupan" ini boleh kita ambil pengajaran tentang perihal pentingnya menghargai nikmat masa kurniaan Illahi. Sahabat-sahabat sekalian, setelah kita menyedari tentang masa yang akan terus berlalu meninggalkan kita, marilah kita bergerak dan bertindak ke arah kebaikan dan perubahan. Saya bukanlah orang yang paling baik untuk menasihatkan. Hakikatnya, saya masih belajar dan terus belajar memformulasi teknik penggunaan masa yang berkesan. Namun, di sini ingin saya berkongsi sedikit tips yang boleh diamalkan:

1. Kenali kelemahan diri anda yang membawa kepada penggunaan masa yang kurang efektif. Contohnya, suka tengok video dalam jangka masa yang lama.

2. Cuba fikirkan cara terbaik untuk mengatasi kelemahan di atas. Contohnya, hadnya masa yang digunakan untuk perkara tesebut (kurang masa tengok video kepada satu sahaja)

3. Minta tolong sahabat atau saudara untuk ingatkan [I]dateline[/I] atau ingatkan anda untuk menggunakan masa sebaiknya.

4. Perhatikan kawan anda yang bijak menguruskan masa. Cuba contohi mereka.

5. Pastikan anda berada dalam persekitaran yang membina dan mendorong untuk menggunakan masa sebaiknya. Contohnya, pergi ke perpustakaan di mana persekitarannya sangat membantu anda untuk mentelaah pelajaran.

6. Yakin anda mampu berubah untuk menggunakan masa sebaiknya.

7. Jangan putus asa jika cubaan tidak berjaya. Bagi peluang untuk diri anda berubah.

8. Jangan terlalu selesa dengan kelapangan masa. Sediakan diri untuk menghadapi saat-saat kesuntukan masa.

9. Berdoalah selalu kepada Allah, Dialah pemilik hati kita. Allah itu dekat, mungkin kita yang menjauhkan diri dari-Nya.

...dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Ali-Imran: 2: 286)

Akhirnya, yakinlah bahawa kita mampu berubah dan mampu memulakan [I]"kick start"[/I] untuk diri kita sendiri. Jangan tunggu masa berlalu, kejayaan hanya pinjaman, jadikan kegagalan sebagai satu kemanisan dengan mengambil pengajaran. Kita makhluk yang dikurniakan akal, gunakanlah untuk menilai dan memerhati bukan sekadar menanti mengharap simpati. Ayuh gunakan masa sebaiknya untuk mencipta kejayaan. Ya, anda boleh!

Wallahua'lam

sumber > http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1395-kick-start-untuk-berjaya.html

Sunday, December 19, 2010

anda boleh membantu hny dengan klik aje..oke~

^_^ lina mursyidah hamzah at 6:48 PM 0 pandangan dari kamu
http://www.churpchurp.com/mursyidah88/share/celcom-greatsale

http://www.churpchurp.com/mursyidah88/share/digi-whats-my-berry

terima kasih pd yg clik..sebarkan2 link ni ye..n click aje..^_^

Thursday, December 16, 2010

jangan sombong dengan takdir

^_^ lina mursyidah hamzah at 9:23 PM 0 pandangan dari kamu

Kebelakangan ini saya kerap dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah. Terus terang ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri. Saya bukan insan serba baik dan sempurna.

Selalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.

Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...

Jangan Sombong Dengan Takdir

Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.

Iblis

Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu... syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih 'senior' dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina... seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka... kerana gugur sifat kehambaannya!

Takdir Dan Iman Kita

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat? Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha?

Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.

Katakan, "ya Allah... sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hamba-Mu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."

Takdir Mengatasi Tadbir

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.

Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan 'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.

Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Apa Khabar Iman Anda?

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Bersangka Baik Dengan Allah

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan... itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven... yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

"...Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu." (Surah Al-Baqarah : 216)

Nikmat Allah

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya?

Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, "belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya."

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujian-Nya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya 'asbab' (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau 'musabbabil asbab' (penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:

"Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah... DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!"


-us pahrol juoi-

sumber> http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1324-jangan-sombong-dengan-takdir.html

Wednesday, December 8, 2010

jom merancang!

^_^ lina mursyidah hamzah at 7:55 PM 0 pandangan dari kamu

Merancang: Tradisi Orang Bertaqwa

Tahun 1431 Hijriyyah telah meninggalkan kita. 1432 Hijriyyah pula mendatang di hadapan kita. Bersyukurlah kerana Allah masih tidak putus memberikan kita rezeki nyawa, nikmat Iman, dan kurnia Islam, Alhamdulillah.

Cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda semua, "berapakah umur aku?"

Sudah pasti anda mampu menjawabnya. 18 tahun? 19 tahun? 20, 21, 23 tahun? Atau 30 tahun?

Dan berapa kalikah sudah kita lalui Sambutan Tahun Baru atau Sambutan Maal Hijrah? 5 kali? 10 kali? 15 kali?

Lazimnya, setiap kali sambutan Maal Hijrah, manusia biasa akan memperbaharui azam barunya untuk tahun tersebut. Atau sekurang-kurangnya berfikir untuk memperbaiki kelemahan lalu. Atau paling kurang pun, merasakan bahawa kualiti dirinya sudah meningkat sedikit berbanding tahun yang sebelumnya.

Cuba bayangkan, kalau benarlah setiap tahun kita berjaya memperbaharui azam kita, memperbaiki kualiti diri kita, meningkatkan nilai hidup kita, dan memperelok masyarakat sekitar kita, maka pada tahun ini, sudah berapa banyakkah kualiti diri kita yang berjaya ditingkatkan? Sudah berapa jauhkah kita memperbaiki nilai hidup kita? Sudah berapa elokkah masyarakat kita? Tanyakan kepada diri anda sendiri.

Bagaimana pula realitinya? Adakah kualiti diri kita kini 5 kali lebih baik daripada diri kita 5 tahun lalu? Tidak dinafikan, sedangkan iman pun ada naik dan turunnya seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW,

الاءيمان يزيد و ينقص

Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak maju ke hadapan.

Merancang, Tradisi Orang Bertaqwa

Ramai di kalangan kita mengaku bahawa dialah penuntut ilmu yang hebat. Ada pula mengatakan dialah pejuang Islam yang mantap. Ada juga yang 'berangan-angan' menjadi orang yang mampu mengubah dunia pada suatu hari nanti, tetapi lupa pada sunnatullah. Sunnatullah apa? Sunnatullah bahawa, kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Kata kuncinya adalah, PERANCANGAN!

Allah berfirman di dalam surah Al-Hasyr, ayat ke-18,

"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada ALlah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang hendak diperbuatnya untuk hari esok (Hari Akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."

Ya, kata kuncinya, merancang! Kalau nak tengok kehebatan seorang manusia itu, kita lihat sejauh manakah perancangannya. Dan menjadi tradisi orang bertaqwa, untuk merancang untuk Hari Akhirat, perancangan paling jauh! Maka, dalam Islam kita diajar menjadi orang yang paling hebat, kerana perancangan kita adalah yang paling jauh.

Namun, selalunya akan timbul salah faham terhadap konsep 'Akhirat'. Ramai yang gagal menemui jalan untuk merancang ke Akhirat. Jawapannya mudah sahaja, kita bayangkan sahaja jika kita hendak ke Kuala Lumpur dari Seremban. Matlamat kita adalah Kuala Lumpur, tetapi lojik akal mengatakan, kita perlu menempuh Highway PLUS Seremban-KL terlebih dahulu. Begitu juga Akhirat. Bukankah dunia itu 'Highway' Akhirat?

الدنيا مزرعة الأخرة
"Dunia itu ladang Akhirat"

Membina Azam, Sunnah Yang Selalu Diabaikan

"Alah, azam aku tahun biasa-biasa je lah..."

"Takda apa-apa azam pun, life goes on..."

"Isy, apa azam-azam ni! Banyak sangat azamnya, nanti tak buat jugak..."

Saya berasa kecewa apabila mendengar ucapan-ucapan sedemikian terbit dari mulut seorang Muslim. Jika anda salah seorang dari mereka ini, cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda sendiri. "Apakah yang anda tahun tentang sunnah Rasulullah?"

Jawapan yang selalu keluar dari mulut ramai dalam kalangan kita adalah, menyimpan janggut, bersugi, memakai jubah, memakai kopiah, memakai celak, bahkan ada yang terus mengatakan, "poligami!"

Marilah kita renungi satu Hadith yang mahsyur, ketika Ummat Islam Madinah sedang bersiap sedia menggali parit untuk menghadapi Perang Khandak, Rasulullah SAW bersabda,

"Akan pasti dibuka kota konstantinopel itu. Maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya" (al-Hadith Ahmad bin Hanbal)

Tidak semena-mena, dalam ketegangan waktu perang, di bawah panas terik padang pasir, dengan kepenatan menggali parit, Rasulullah saw bersabda sedemikian.

Saya bayangkan, kalaulah kita ada di waktu itu, kita akan katakan dalam bahasa kita, "Apa kejadahnya ni?" Ya lah, cuba bayangkan, Ummat Islam ketika itu hanya berapa kerat sahaja berbanding Kaum Musyrikin Mekah, kelihatan seperti itu hanya omongan kosong sahaja, tetapi lihatlah, bagaimana Rasulullah SAW mengajar Ummat Islam agar 'think big'!

Dan, dengan Rahmat Allah dan kemuliaan kata-kata Rasulullah SAW, perkara itu terjadi! Bukan di zaman Rasulullah, bukan pula di zaman Saydina Abu Bakr, atau Zaydina Umar, atau Saydina Uthman. Bukan juga di zaman Saydina Ali, tetapi 800 tahun selepas itu, ketika pemerintahan Khalifah ke-7 Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al-Fatih!

Dan juga, Spethen R. Covey di dalam bukunya berjudul '7 Habits Of Higly Effective People' MENIRU konsep Sunnah Rasulullah ini, di dalam habitnya yang kedua, 'Begin with the End in Mind'. =)

Pangkal Penentu Penghujung

Setelah mempunyai visi dan matlamat yang jelas, atau dengan kata lainnya kita dah tahu 'penghujung', barulah kita dapat memulakan langkah baru. Matlamat akhir kita akan menentukan permulaan kita. Namun, begitu juga sebaliknya, langkah pertama kita, akan menentukan bagaimana keadaan penghujung kita. Langkah pertama akan menentukan momentum kita untuk bergerak.

Kesilapan ramai dalam kalangan kita adalah, setelah merancang matlamat dan visi, mereka gagal memulakan 'langkah pertama'. Antara sebab yang popular adalah, malu tak bertempat, tidak ada keyakinan diri, segan, malas, tak tahu macam mana nak mula, dan tiada semangat. Have a vision, share the vision.

Memetik satu kata hikmah,

من لم يكن في بدايته محركة, لم يكن في نهايته مشرقة

Siapa yang di permulaannya tidak bergerak, penghujungnya tidak akan bernyala(atau bercahaya/cerah/hebat)

Kata kuncinya adalah, GERAK!

Maka lepas ini, moga-moga tiada lagi kata-kata "tak mampulah" atau "seganlah" atau "isy, malaslah" keluar dari mulut seorang Muslim, kerana ia melanggar dan menyalahi Sunnah Rasulullah SAW.

Kalau ada lagi yang berfikiran begini, ingat pula kata-kata Imam Junid,

من طلب شيء بجدّ و صدق الاّ نال كله فاءن لم ينال كله ينال بعضه

"Barangsiapa yang menuntut (mencari) sesuatu dengan sungguh-sungguh dan benar, melainkan dia akan dapat semuanya (yang dia mahu). Kalau tak dapat semuanya pun, dia akan dapat sebahagiannya."

Maka kalau niat anda ikhlas kerana Allah, dan perkara yang anda mahukan itu benar dan halal, sertakan sekali dengan kesungguhan, insyaAllah, jika anda tidak dapat kesemuanya, anda akan dapat juga sebahagiannya. Yakinlah. Kan untung begitu?

Sekian dahulu ucapan Maal Hijrah saya untuk tahun 1432. Semoga kita semua mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita pada tahun lalu, dan terhindar dari dosa pada tahun mendatang.

Semoga juga kita beroleh pahala dan keredhaan di atas segala alam kita pada tahun lalu, dan diberi petunjuk dan keberkatan di atas segala amal perbuatan kita pada tahun mendatang.

Ingatlah, saya juga tidak terlepas dari gejala-gejala negatif yang saya sebutkan di atas. Semoga sama-sama kita mendapat manfaat insyaAllah.

Salam Maal Hijrah!


sumber http://www.iluvislam.com/tazkirah/bulan-islam/1278-merancang-tradisi-orang-bertaqwa.html

setulus cintamu...

^_^ lina mursyidah hamzah at 10:33 AM 0 pandangan dari kamu

Setulus Cinta Nabi Muhammad

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap, Rasulullah s.a.w. dengan suara terbatas memberikan kutbah.

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. Fatimah terpejam. Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku (peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.)"

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii.. (Umatku, umatku, umatku).."

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Kini, mampukah kita mencintai seperti Baginda mencintai kita? Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada umatnya, betapanya cintanya Rasulullah kepada umatnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Pernahkah kita menangis untuk Rasulullah s.a.w? Sedangkan di akhir hayat baginda menangis kerana kita. Renungkanlah...


sumber> http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/1266-setulus-cinta-nabi-muhammad.html

 

perkongsian sebagai peringatan Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea